--<@Ahlan Wasahlan@>--

Friday, March 26, 2010

-Di kamar sepi-

Gelisah di kamar sepi

Bertemankan malam yang dingin

Terlintas diminda detik kematian

Yang entah bila kan menjelma


 

Sendiri di perut bumi

Bersemadi jasad yang kerdil

Saudara dan teman telah tiada lagi

Terbujur kaku berselimut putih


 

Wahai Tuhanku apakah nasibku

Dikubur gelap sesempit itu

Bisakah aku, memberi jawapan

Pada soalan malaikat-Mu


 

Dilapisan mana di neraka-Mu

Kau campak aku kesakitan

Betapa banyaknya dosa - dosaku

Tak bisa ku meraih syurga-Mu


 

Hanya amal kebajikan di dunia

Yang dapat menyelamatkanku

Oh Tuhanku...


 


 


 

Wednesday, March 10, 2010

ku damba keampunan

Apabila aku terkenangkan janjiMu

Terasa gerunnya di hatiku

Betapa fakirnya fitrahku padaMu

Betapa jauhnya diriku dariMu

Sepanjang aku dibuai mimpi

Telah ku lupakan janjiMu oh Ilahi

Lenaku masih belum terjaga lagi

Ya Allah sedarkanlah daku

Oh Tuhan kini ku telah jaga

JanjiMu takkan mungkir

Pada hamba yang ingkar

Diriku tidak kan terlepas

Kesalku makin menekan

Insafku kian meningkat

Apakah masih tersisakah titisan rahmat

Moga diriku dikurniakan berkat

Tidak tertahan diriku oh Ya Allah

Menanggung azab siksaanMu

Tidak sanggup merasa diriku Ya Allah

Menanggung kemurkaanMu

Ya Allah ampunlah kesalahanku

Ya Allah ampun keterlanjuranku

Ku memohon rahmat daripadaMu

Semoga dihazafkan dosaku

-Tuhan Yang Esa-


Di dalam cahayaMu Tuhan
ku harap petunjukMu
Di dalam sinaran purnama
ku mohon keampunan
Moga terlerailah segala dosa-dosaku
Mogaku jadi hamba yang bersyukur
Tuhan Yang Esa..
udara yang ku hirup
terasa nikmatMu yang menggunung
tidak terhitung harga nilaiannya
Oh Tuhan Kau Pengasih Maha Penyayang
Oh Tuhan..
di depan ujian terasa diri ini memerlukanMu
ku harap Kau lindungi hamba yang lemah ini
Oh Tuhan Maha Kuasa Maha Pengampun
ku harapkan pintu taubatMu terbuka luas
untuk hambaMu yang sering leka
dengan rahmatMu dan kasih sayangMu
Kau ampunilah segala dosa-dosaku
moga selamat di dunia dan akhirat..
-inteam-

Tuesday, March 9, 2010

PERANAN MUSLIMAH SEBAGAI DAIEAH

Penglibatan muslimah di dalam gerakan dakwah adalah merupakan sesuatu yang tidak dapat dinafikan lagi. Contoh yang dibuktikan oleh muslimah yang terdahulu seperti saiyidatina Khadijah binti Khuwailid sebagai manusia pertama yang menyahut seruan Iman dan Islam, saiyidatina Aisyah sebagai gedung ilmu dan pusat sumber maklumat, Ummu Ammarah Nusaibah binti Ka'ab yang bermati-matian di medan Uhud dan Sumaiyah Ali Yaasir sebagai orang yang pertama mendapat gelaran syahid adalah bukti yang jelas bahawa peranan muslimah adalah jauh lebih luas dari hanya sekadar beroperasi di dalam rumahnya.

Fenomena yang mengancam pemikiran ramai manusia dalam memisahkan peranan muslimah di dalam medan perjuangan Islam adalah merupakan sebahagian dari gejala rawathib aljahiliyyah (karat-karat jahiliyyah) dan juga rawathib al isti'mariyah (karat-karat penjajahan) yang begitu dominan di seluruh pelusuk dunia Islam. Akibat dari gejala ini, salah faham terhadap Islam berlaku dan Islam ditohmah sebagai satu ajaran agama yang menindas dan memperlekehkan kaum wanita.

Sifat Islam sebagai Deen ul Fitrah (agama fitrah) yang datang untuk menjadi panduan kepada manusia samada lelaki mahupun perempuan adalah merupakan satu bukti yang nyata bahawa tanggungjawab sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini dipikul bersama oleh muslimin dan muslimat. Kebanyakan perintah-perintah yang terdapat di dalam Al-Quran adalah bersifat umum yang merangkumi lelaki dan perempuan dan Islam tidak sama sekali pun membezakan antara mereka dari segi
tanggungjawab di atas muka bumi mahu pun pembalasan di akhirat nanti.

Setelah kita berusaha untuk membentuk diri kita dengan sesempurna mungkin untuk memikul tanggungjawab ini, setiap individu muslimah mestilah berusaha untuk memanggil ke arah perlaksanaan cita-cita Iman dan Islam tadi ke dalam realiti. Keindahan dan kesempurnaan Islam tidak akan terbukti kalau hanya setakat teori dan cita yang tidak dicernakan ke dalam waqi' (realiti). Tugas mencernakan ajaran Islam dan mengajak manusia bersama untuk beriman inilah yang dikenali sebagai da'wah.

Di dalam konteks da'wah, di sana ada 3 marhalah (peringkat) yang mesti dilalui untuk menjamin keberkesanan usaha yang dilakukan. Marhalah2 tersebut adalah marhalah ta'rif (pengenalan), marhalah takwin (pembentukan), marhalah tanfiz (perlaksanaan). Di sini kita akan cuba menghuraikan peranan muslimah sebagai da'ieah dalam mengisi ketiga-tiga marhalah tadi.

1. Marhalah Ta'rif

Yang dimaksudkan sebagai ta'rif adalah pengenalan dalam konteks penyediaan individu muslimah yang faham, beramal dengan apa yang difahaminya dan seterusnya berjihad dan beristiqamah pula dalam jihadnya. Untuk mengisi tuntutan ini maka hendaklah setiap muslimah tadi berusaha untuk:

1.1) Melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah azza wa jal dengan pembentukan iman dan aqidah yang benar. Proses ini berlaku apabila muslimah tadi berusaha dan bersungguh dalam ibadat dan hubungannya dengan Allah azza wa jal melalui ibadat dan ketaatan seperti yang telah diwajibkan.

1.2) Melahirkan insan yg faham akan konsep Iman dan Islam yg menyeluruh sepertimana firman Allah azza wa jal:

"Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu mengikut jejak-jejak syaitan". Surah Al Baqarah ayat 208.

1.3) Melahirkan insan yang memiliki as syakhsiyah al-islamiyyah (personaliti sebagai seorang Muslim) yg contoh ikutannya adalah Rasulullah SAW. Syakhsiyah ini adalah berbentuk kamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi) dan setiap penda'wah hendaklah menyedari bahawa kita sekarang sedang membawa risalah dan setiap gerak geri kita adalah diperhatikan. Pastikanlah bahawa syakhsiyah kita tadi tidak akan menimbul fitnah terhadap Islam yang hendak kita bawa dan tarbiyyah yang sedang kita lalui.

2. Marhalah Takwin

Setelah menjalani proses ta'rif, muslimah hendaklah berpindah pula kepada marhalah takwin. Di dalam marhalah ini mad'u (mereka yang dida'wahkan) hendaklah dibawa mengenali konsep amal jamaie (beramal dan bergerak dalam bentuk jamaah). Islam tidak pernah dan tidak akan dapat ditegakkan oleh individu atau pengasingan diri dari masyarakat. Individu tadi
hendaklah memiliki dan mengujulkan intima' dan iltizam (commitment) yang menyeluruh terhadap Islam, da'wah dan harakah Islamiyyah (gerakan Islam).

Dalam peringkat ini hendaklah dibentuk sifat mas'uliyah fardiyah (tanggungjawab) yang tinggi. Masuliyah ini adalah masuliyah yang melahirkan sifat muraqabah (merasakan bahawa Allah sentiasa memerhatikannya) yang akan mengakibatkan individu tadi jujur pada dirinya, jujur pada Allah dan jujur pada perjuangan yang didokonginya. Kita tidak mahu dalam marhalah ini akan timbul permasalahan furu' (cabang) dibawa menjadi isu yang mengakibatkan kita menjadi golongan al
mutasaqitin (golongan yang gugur).

Dalam marhalah ini keujudan baitul muslim (rumah tangga Islam) sebagai nucleus terpenting dalam gerakan Islam adalah merupakan satu tuntutan. Muslimah berperanan untuk memastikan rumahtangganya hidup dalam suasana Islam dalam semua aspek. Dalam hubungan ini Muslimah berperanan untuk menjadi zaujah as solehah (isteri yang solehah), yang taat dan pendorong utama kepada perjuangan Islam suaminya dan juga berperanan
besar untuk memastikan tarbiyatul aulad (pendidikan anak-anaknya) berjalan dalam suasana yang Islamik.

3. Marhalah Tanfiz

Marhalah ini adalah marhalah yang terpenting yang merupakan ujian sebenar terhadap commitment seseorang muslimah terhadap pengisian dan kefahamannya terhadap Islam. Islam yang hanya sekadar diteorikan tidak akan mendatangkan sebarang hasil. Dalam marhalah ini, 3 unsur utama yang harus diperhatikan adalah:

3.1 Al Iman al 'amiq: Iman yang mendalam.

3.2. Tanzim ad daqiiq: Penyusunan organisasi gerak kerja yang teratur lagi menyeluruh.

3.3. Al amal mutawasil: Kerja dan komitmen yang dibuat berterusan dan bukan hanya kerana masa yang tertentu, kawan atau suasana.

Dalam marhalah ini, muslimah tidak lagi dapat menyendirikan diri untuk membawa risalah Islam. Panduan Al Quran dengan jelas memerintahkan pejuang Islam untuk berada dalam satu saf yang tersusun rapi:

"Sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang berjuang di jalanNya dalam satu saf seolah-olah batu-bata yang tersusun rapi..." AS SAFF: 3.

Marhalah ini mengajak muslimah untuk keluar di tengah-tengah medan dan bersama mengangkat panji-panji Islam untuk ditegakkan di tengah-tengah kejahilan ummah.

Marhalah ini adalah marhalah muwajahah (berdepan) dengan realiti perjuangan da'wah yang akan mengajak kepada pengorbanan yang sebenarnya. Tidak ada di sana sebarang perjuangan yang tidak ada pengorbanan. Pengorbanan dalam da'wah adalah terlalu luas dan banyak bidangnya yang mengajak kita untuk mengurus dan mentadbir diri kita ini dengan sebaik-baik tanzim.

Penutup

Setelah kita melihat segala tuntutan ini dengan jelas menunjukkan bahawa tanggung jawab yang ada di bahu kita adalah lebih banyak dari kemampuan yang kita miliki, maka dengan demikian hadith Rasulullah SAW: "Ilzim jama'tul muslimin wa imamahum"; Lazimkanlah diri kamu dengan jemaah Islam dan Imam (pimpinan) mereka, adalah merupakan satu komitmen yang jelas mengajak kita semua untuk bersatu bersama jemaah.

Ikrar sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah akan hanya teruji kalau kita bersama dengan harakah Islamiyyah. Perjuangan yang tidak bersifat haraki adalah perjuangan yang tidak menepati contoh yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan cita-cita Islam tidak akan tercapai kalau kita hanya menyatakan bahawa Islam itu benar, indah dan sempurna tetapi kebenaran, keindahan dan kesempurnaan itu tidak kita jihadkan dan kita da'wahkan.

Oleh: UST NASARUDDIN MAT ISA
 


 

Interesting..